http://chipsmore1991.blogspot.com/

Thursday, October 27, 2011

CARA-CARA MENGUATKAN DAYA INGATAN


 

Amalkan Tidur Yang Cukup

1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yg suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yg cukup. Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat/data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yg baru. Oleh itu, amalkan tidur yg cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi.

Mengawal Tekanan

Tekanan hanya akan membuat jiwa anda tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan anda terganggu. Anda juga lebih cenderung untuk menjadi seseorang yang tidak peka dengan keadaan persekitaran. Anda tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan anda juga terjejas. Oleh itu, kawal tekanan anda dengan baik seperti bermeditasi, membaca Al-Quran, yoga, sauna, aromaterapi dan sebagainya.

Berhati-hati Dengan Pengambilan Vitamin atau Makanan Tambahan

Sesetengah produk yg dijual di kaunter atau farmasi tidak sesuai dengan kita. Ada yg kononnya dapat meningkatkan daya ingatan. Tetapi sebaliknya ada yg memberi kesan sampingan. Oleh itu, lebih baik jika kita mendapatkan vitamin yg diperlukan oleh tubuh badan kita dengan pemakanan yg seimbang atau rujuk dahulu doktor yg bertauliah sebelum membeli makanan tambahan.

Bersenam

Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak. Oleh itu, daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik. Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki.

Elakkan Kemurungan


Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup anda tidak ceria. Anda sentiasa berada dalam keadaan tidak segar dan rasa kecewa. Lama-kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan anda dan membuat anda tidak hirau dengan persekitaran anda. Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatri atau beramal-ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan.

Awasi Pengambilan Ubat

Daya ingat mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat, konsultasi dengan doktor. Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.

Belajar Sesuatu yang Baru

Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya Bahasa Jepun, kursus kemahiran jangka pendek, menjahit, atau menghadiri ceramah dan motivasi.

Permainan

Bermain sesuatu permainan seperti board games dapat merangsang minda. Contohnya, catur, scrabble (Sahibba) dan Monopoli. Selain itu, teknologi sekarang lebih baik seperti permainan komputer dan Playstation. Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda.

Banyak Membaca

Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit-sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan.

Katakan Berulang Kali

Untuk meningkat ingatan anda tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga anda benar-benar ingat akan maklumat tersebut.

Fokus

Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya anda sering fokus dalam sesuatu, contohnya matlamat hidup. Anda juga dapat belajar fokus dengan menumpukan fikiran anda pada sesuatu perkara dan mencatatkan apa yang anda fikirkan.

Bermain Dengan Angka

Asahkan minda anda dengan cuba bermain dengan angka seperti mengingati nombor telefon rakan-rakan. Selain itu, anda boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.

Membaca Al-Quran

Sekiranya anda seorang Muslim, amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat setiap hari. Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik.

Tuesday, October 18, 2011



Cara- Cara untuk Menghadapi dan Mengatasi Tekanan

Tekanan atau stress merupakan sebarang jenis perubahan yang menyebabkan rasa tegang fizikal, emosional dan psikologi. Ianya adalah biasa. Semua insan mengalami tekan yang berkaitan dengan kerja, keluarga, keputusan , masa depan, dll.
Tekanan adalah fizikal serta mental. Ia di sebabkan oleh kejadian utama kehidupan seperti kesakitan, kematian orang yang kita sayangi, sesuatu perubahan dalam tanggungjawab atau dugaan di tempat kerja, kenaikan pangkat, kerugian, masalah kewangan atau perubahan yang tiba-tiba atau yang tidak dijangka. Sebagai respons kepada tekanan harian , badan kita secra automatik menambahkan tekanan darah, denyutan jantung, pernafasan, metabolisme dan aliran darah ke otot anda. Respons ini bertujuan untuk membantu badan anda bereaksi secara pantas dan berkesan terhadap sesuatu keadaan yang tegang. Bagaimanapun, apabila anda sentiasa bereaksi terhadap kedaan yang banyak tekanan (stressful), sama ada kecil atau besar, tanpa membuat penyesuaian fizikal, mental, dan emosional bagi menangani kesannya, maka anda boleh mengalami tekanan yang boleh menjejaskan kesihatan, kesejahteraan, tenaga, kecerdasan dan hubungan peribadi dan profesional anda. Lantaran itu, anda perlu memahami unsur-unsur utama yang boleh membawa tekanan dalam kehidupan anda dan mengambil tindakan untuk mencegahnya.
Perlu diingatkan tekanan boleh membawa kesan positif. Anda perlu sedikit tekanan untuk membuat kerja anda dengan cemerlang. Kunci untuk mengurus tekanan ialah untuk memastikan tahap tekanan yang sesuai yang boleh memberi anda tenaga, keghairahan dan motivasi dan juga tahap tekanan yang boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan anda. Antara isu dan peristiwa yang menyebabkan tekanan jiwa ialah perasaan tidak mempunyai arah haluan; perasaan tidak dapat mengawal sesuatu keadaan; rasa bersalah terhadap kelewatan atau kegagalan untuk menyempurnakan komitmen; terlalu banyak komitmen berbanding dengan masa yang ada; perubahan, terutamanya perubahan yang anda sendiri tidak buat; sesuatu keadaan yang tidak menentu dan dugaan tinggi terhadap diri anda. Kesan tekanan bergantung kepada bagaimana kita memandangnya – sikap . kita terhadap sesuatu keaddan. Misalnya, berpindah rumah merupkan keadaan tekanan yang tinggi. Tetapi sama ada tekanan yang anda alami itu melemahkan atau sangat menggembirakan bergantung kepada bagaimana anda bereaksi terhadap situasi yang tertentu itu. Adakah ia satu pengalaman pahit atau satu cabarang yang merangsang?
Cara yang terbaik untuk menangani tekanan ialah untuk membasminya. Misalnya, jika anda tahu anda mempunyai alergi terhadap kain bulu biri, anda harus hentikan memakai pakaian itu. Maka dengan itu tekanan anda akan hilang. Jika tekan anda adalah disebabkan oleh sesuatu keadaan, anda perlu memilih sesuatu teknik yang boleh digunakan dengan serta merta apabila dihadapinya pada saat itu juga. Ubah tekanan anda kepada satu motivator dengan memandang sesuatu keadaan secara positif.Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan tekanan dan tegangan dan berasa senang dan tenang. Berikut ialah tujuh cara yang pada pendapat saya merupakan cara yang paling berkesan bagi mengatasi tekanan dalam jiwa kita.
1) Senaman pernafasan.
Pernafasan membawa banyak manfaat, termasuk mengoksigenkan darah yang membangunkan otak, melegakan otot dan menteramkan minda kita. Tarik nafas melalui lubang hidung secara perlahan-lahan dan kuat dan hembuskan nafas melalui lubang hidung secara perlahan-lahan dan penuh . Semasa menhadapi tekanan, pernafasan menjadi lemah dan pantas. Bernafas dengan kuat merupakan satu cara yang efektif untuk mengekekalkan keadaan tenang. Senaman pernafasan ialah berguna kerana ia boleh dibuat di mana- mana sahaja dan ia membawa kesan positif dengan serta merta. Kita hendaklah menjadikan senaman sebagai satu tabiat harian.
2)Tafakur (Meditation)
Apabila bertafakur bersendirian tanpa apa-apa gangguan , otak anda menjadi tenang dan hormon tertentu yang memajukan kesihatan dibebaskan. Minda yang senang dan lega membantu kita mengelakkan tekanan jiwa. Setiap hari kita perlu membelanjakan sekurang-kurangnya lolima belas minit untuk bertafakur.
3)Penggambaran.
Penggambaran atau visualization membantu anda membayangkan anda mencapai tujuan dan cita-cita anda seperti menjadi sihat dan berasa tenang; menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan baik dan menangani situasi konflik secara berkesan. Juga, membayangkan anda membuat kerja yang anda mencuba untuk menguasai dengan cemerlang sebenarnya berfungsi sebagai latihan fizikal. Jadi, anda boleh menambahbaikkan prestasi anda melalui penggambaran.
4)Pengurutan (Massage).
Terapi pengurutan mengurangkan denyutan jantung dan melegakan badan anda. Ia juga menambahkan kecerdasan minda kita. Minta sahabat anda memberi massage atau dapatkan khidmat seorang professional bagi membantu anda.
5)Kelegaan otot.
Berbaring, bersenang-senang dan dan membiarkan otot anda di muka, tangan, bahu dan leher mengendur sekuarang-kurangnya tiga minit. Latihan ini boleh dibuat mana-mana sahaja dan ini boleh membantu anda berasa tenang dengan cepat dan mudah.
6)Muzik.
Terapi muzik mendatangkan banyak faedah kesihatan bagi mereka yang mengalami tekanan dan juga kesakitan yang teruk. Muzik yang sesuai boleh mengurangkan tekanan darah, melegakan badan dan mententeramkan minda anda. Anda perlu memilih muzik ringan dan yang anda sukai dan denganya setiap hari.
7)Pengurusan masa.
Kenalpasti kerja harian anda mengikut keutamaan dan menetapkan satu jadual supaya anda dapat menyiapkannya mengikut keutamaan dengan tanpa melengah-lengahkan. Kenalpasti juga kerja yang tidak mendatangkan sebarang faedah seperti gossip kosong, perbualan telefon dan yang memebazirkan masa anda. Membelanjakan masa yang lebih bagi membuat kerja yang lebih penting.
Selain teknik yang diterangkan di atas, anda boleh main pelbagai aktiviti dengan anak-anak; berjalan sekurang-kurangnya dua kilometer sehari; pergi berenang di sungai atau pantai; beri perhatian kepada pemakanan; tidur lapan jam setiap malam; dan menuntun kartoon atau lawak jenaka (komedi) atau baca komik (kerana mengikut pakar perubatan gelak ketawa dan kelucuan melegakan otot, mengurangkan tekanan darah, menambahkan tahap tenaga, dan menyegarkan sistem pernafasan dan darah kita).
Sumber : Utusan Malaysia, 29 Mac 2006
[YOUTUBE=http://www.youtube.com/watch?v=ARrOFvBIT7M]

Thursday, September 29, 2011







TIPS BERHENTI MEROKOK


Sihat sepanjang hayat. Merokok meningkatkan risiko sehingga 10 kali ganda untuk mendapat 40 jenis penyakit serius seperti kanser paru-paru, penyakit jantung dan angin ahmar atau strok. Merokok boleh memberi kesan kepada hampir setiap organ dan tisu badan.
Mengapa harus berhenti merokok?
Merokok memberi keburukan kepada semua individu Ia tidak memberi kebaikan kerana:
  • Merokok memberi kesan buruk kepada orang di sekeliling anda terutama ahli keluarga.
  • Ibu yang mengandung boleh melahirkan anak tidak cukup bulan, kurang berat badan atau mati selepas lahir.
Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok boleh:
  • Sering sakit dengan mengalami batuk-batuk, selsema serta jangkitan telinga, hidung dan tekak.
  • Mengalami perkembangan paru-paru yang lemah.
  • Mendapat asma.
Apakah faedah yang diperolehi dengan berhenti merokok?




Keputusan untuk berhenti merokok adalah untuk kebaikan diri sendiri dan kesihatan keluarga anda. Faedah-faedah yang diperolehi dengan berhenti merokok ialah:
  • Panjang umur - Satu dari dua perokok akan mati lebih awal disebabkan penyakit berkaitan merokok. Merokok membunuh hampir 5 ribu rakyat Malaysia setiap tahun.
  • Mengelakkan dari bahan-bahan berbahaya - Asap rokok mengandungi hampir 4,000 bahan kimia dan 50 daripadanya boleh menyebabkan kanser.
  • Mencegah penyakit - Hampir 40 jenis penyakit yang berkait dengan merokok. Kanser paru-paru, sakit jantung, penyakit paru-paru yang kronik,strok dan ulser di bahagian lapisan kulit perut adalah antara penyakit-penyakit bahaya akibat tabiat merokok.
  • Kehidupan yang lebih sihat - Mereka yang tidak merokok kurang mendapat batuk, selsema dan lain-lain penyakit pernafasan berbanding dengan perokok.
  • Mencegah daripada mendatangkan keburukan kepada orang lain - apabila anda merokok, ia memberi kesan kepada orang di sekeliling anda, di mana asap rokok tersebut boleh mendatangkan serangan asma dan lain-lain penyakit berkaitan dengan pernafasan.
  • Menjadi contoh yang baik terutama untuk keluarga dan anak-anak.
  • Meningkatkan tahap kecergasan dan memiliki badan yang sihat.
  • Meningkatkan deria bau dan rasa.
  • Memiliki gigi yang putih dan nafas yang segar.
  • Rambut dan pakaian tidak berbau asap rokok.
  • Menjimatkan wang - Labur wang anda berbanding membeli rokok (RM5.00 sehari, pelaburan =RM 150.00 sebulan = RM 1800.00 setahun. Jika anda melabur untuk 10 tahun, anda sudah mempunyai RM18,000.00 dalam akaun simpanan anda).
  • Melindungi alam sekitar - Puntung rokok dibuang oleh perokok boleh menyebabkan kebakaran.
  • Meningkatkan kesuburan.
  • Meningkatkan tahap 'kelakian'.

Bagaimana hendak berhenti merokok?




Faktor yang paling penting adalah keinginan anda untuk menjadikannya satu kenyataan.
  • Tetapkan tarikh untuk berhenti.
  • Yakin dir.i
  • Buatkan nota peringatan.
  • Katakan pada diri anda "saya bukan perokok".
  • Sentiasa berfikiran positif.
  • Dapatkan sokongan.
  • Gunakan terapi penganti nikotin.
  • Amalkan 12M untuk berhenti merokok.


Teknik berhenti merokok


Tip Berhenti Merokok 12 M :

1. Melengah-lengahkan
  • Tunggu 5 minit atau katakan nanti sebentar.
2. Menarik nafas panjang
  • Tarikh nafas 3 kali secara perlahan-lahan.
3. Minum air
  • Terutama air masak. Elakkan minuman berkafein.
4. Menyibukkan diri
  • Buat sesuatu bagi mengalih fikiran dan untuk melupakan rokok.
5. Menjauhkan diri
  • Jauhkan diri daripada orang yang merokok.
6. Mengelakkan diri
  • Daripada suasana atau situasi yang mendorong kepada merokok.
7. Mengunyah sesuatu
  • Seperti gula-gula getah dan memakan buah-buahan. Elakkan sesuatu yang manis.
8. Membasuh tangan selalu


9. Mandi dengan kerap


10. Meregangkan otot
  • Lakukan senaman regangan apabila rasa mengantuk.
11. Meditasi


12. Memohon doa
  • Berdoa agar dikuatkan azam dan tingkatkan usaha untuk berhenti merokok.


Adakah saya kuat merokok? Adakah saya mengalami ketagihan rokok?

Anda boleh menentukan kebergantungan anda kepada tembakau dengan menjawab soalan-soalan di bawah.

Status kebergantungan.

Ujian Modifikasi Fagerstrom untuk kebergantungan nikotin




1. Berapa lama anda menghisap rokok yang pertama selepas anda bangun dari tidur?
  • Dalam masa 5 minit (3 mata)
  • 5 hingga 30 minit (2 mata)
  • 31 hingga 60 minit (1 mata)
  • Selepas 60 minit (0 mata))
2. Adakah anda merasa sukar untuk tidak merokok di tempat larangan merokok seperti di gereja, sekolah, panggung wayang, perputakaan, dalam bas, di mahkamah atau di hospital?
  • Ya ( 1 mata)
  • Tidak ( 0 mata)
3. Waktu merokok manakah yang paling anda benci untuk berhenti, waktu merokok manakah yang anda hargai?
  • Yang pertama di pagi hari ( 1 mata )
  • Sebarang masa ( 0 mata )
4. Berapa batang rokok anda hisap setiap hari?
  • 10 atau kurang ( 0 mata )
  • 11 hingga 20 ( 1 mata )
  • 21 hingga 30 ( 2 mata
  • 31 atau lebih ( 3 mata)
5. Adakah anda merokok lebih banyak dalam beberapa jam pertama selepas bangun tidur berbanding dengan waktu lain pada hari tersebut?
  • Ya ( 1 mata )
  • Tidak ( 0 mata
6. 6. Adakah anda masih merokok walaupun sakit dan berada di atas katil sepanjang hari, atau semasa mendapat selsema dan sukar untuk bernafas?
  • Ya ( 1 mata )
  • Tidak ( 0 mata )
Pemarkahan:
  • 7 hingga 10 mata = sangat bergantung
  • 4 hingga 6 mata = sederhana
  • Kurang dari 4 mata= minima








TEKNIK BELAJAR BERKESAN




Pengenalan


Bagi mereka yang telah berjaya dengan cemerlang,beberpa pendekatan belajar telah diamalkan. Para pengkaji teknik belajar telah juga menghasilkan beberapa pendekatan pembelajaran yang berkesan.


Terpulang kepada kita sebagai pelajar untuk mengikuti teknik mana yang paling sesuai dan paling mudah difahami. Untuk membantu pelajar di sini terdapat beberapa teknik belajar akan diutarakan.



Teknik Belajar 5R-STUV

  1. Recopy                                  [salin semula]
  2. Rework all model 5 x            [buat semula contoh/cepat/5x]  
  3. Recite out loud Repeatedly [lafaz kuat berulang kali]
  4. Recheck                                [semak semula]
  5. Reasonnablenes                   [jawapan berpatutan/sebaliknya]

  1. s-sumarize         [ringkaskan nota penting]
  2. t-test your self [uji diri anda]
  3. u-use                 [gunakan]
  4. V-visualize         [bayangkan selalu]


Teknik Belajar Secara Pembayangan
Kita mempunyai apa yang dinamakan otak kanan dan otak kiri. Otak kiri melibatkan pemikiran bercorak 'akademik' seperti perkataan, nombor, kebolehan saintifik, matematik, bahasa, analisisi dan penggunaan tangan kanan.
Otak kanan pula melibatkan aktiviti bersangkutan irama, imaginasi, warna, khayalan, ilham, corak, dimensi dan penggunaan tangan kiri.
Persoalan yang timbul adakah kita menggunakan kedua-dua bahagian otak dengan bijaksana. Umpamanya adakah kita selalu menggunakan otak kanan kita untuk menghayalkan pelajaran atau atau adakah ia selalu digunakan untuk menghayalkan dan mengimaginasi masalah peribadi, angan-angan kosong, dendam, hasad-dengki,amalan ilmu hitam dan perasaan yang tidak berhubungkait dengan pelajaran.
Jika otak bahagian kanan ini belum lagi digunakan sepenuhnya untuk mengkhayalkan pelajaran, maka masanya telah tiba kita mengkikis semua khayalan dan imaginasi kosong dan segerakan gunakan setiap saaat yang ada untuk khayalan digunakan untuk membayangkan pelajaran.
Teknik pembayangan perlu penumpuan. Penumpuan yang serius amat perlu. Sebaik-baik suasana ialah yang sunyi sepi seperti semasa berehat, semasa berbaring sebelum tidur malam, semasa duduk berseorangan menenangkan fikiran, semasa menumpang bas atau teksi, semasa di stesen bas dan lain-lain.
Sebagai contoh kita ambil suasan berbaring sebelum tidur. Bilik sudah gelap> Keadaan sunyi sepi. Dalam suasana ini, tenangkan fikiran. Mula bayangkan soalan-soalan, raja, sifir, graf dan apa juga yang telah dipelajari. Bayang ia satu demi satu. Untuk menguatkan tumpuan tulis, lukis apa yang diingat di atas tilam dengan menggunakan telunjuk anda. Amalakan ini setiap malam. soal diri anda, satu ke satu soalan, mata pelajaran ke mata pelajaran sehinggalah tertidur. Ulangi bila terbangun di tengah malam. Amalkan ia dari sehari ke sehari, seminggu ke seminggu, sebulan ke sebulan bermula ddari tingkatan 1 hingga ke tingkatan 6. Bila ruangan khayalan ini dipositifkan dengan fikiran sehat, anda akan rasakan hasil usaha ini. Bagi anda yang belum mengamalkannnya, cuba mula dari sekarang.




Rahsia-rahsia di sebalik pengurusan masa pelajar cemerlang.

  1. Masa sebelum tidur -  masa berbaring sebelum tidur. Aamalkan teknik belajar secara bayangan. Menulis atau menyelesaikan masalah dengan cara menulis dengan menggunakan jari telunjuk di atas tilam.
  2. Masa terbangun di tengah malam( Belajar seperti No.1)
  3. Masa bangun tidur. Subuh/pagi.Bayangkan pelajaran semalam.
  4. Masa ke tandas waktu pagi (ingatkan perkara yang terlupa)
  5. Masa ke tandas waktu malam (sama seperti No.4)
  6. Masa bercermin (Lekatkan Nota penting Dekat cermin)
  7. Masa sarapan pagi (Baca selembar dua suratkhabar)
  8. Masa berjalan ke sekolah (Tanya diri-sifir dan formula)
  9. Masa menunggu bas (Ulangkaji kad nota atau bayangkan)
  10. Masa di dalam bas atau kereta (ulangkaji harian/cepat)
  11. Masa berjalan ke sekolah ( Tanya diri pasal sifir , formula dan lain-lain lagi)
  12. Masa sampai awal pagi ke sekolah ( ulangkaji harian/cepat)
  13. Masa menunggu cikgu yang terlewat(ulangkaji cepat)
  14. Masa rehat (ke perpustakaan baca ringkas buku-buku)
  15. Masa sebelum pulang (Lwatkan pulang buat kerja rumah)
  16. Masa berjalan pulang ( tanya diri pasal sifir)
  17. Masa berada dalam bas ( baca kad nota)
  18. Masa rehat selepas makan (baca novel/majalah)
  19. Masa rehat selepas maka n malam (Baca rencana akhbar dan lain-lain)
  20. Masa menonton tv (melukis rajah-rajah, peta, tulis formula dan lain-lain)

        MASA TERPENTING DALAM PEMBELAJARAN CEMERLANG   
                               MASA BELAJAR WAKTU SUBUH




Lain-lain masa yang perlu diurus.
  1. Masa ditelipon-pendekan perbualan
  2. Semasa membantu ayah dan ibu (belajar cara bayangan)
  3. Masa menunggu doktor (ulangkaji kad Nota)
  4. Masa berjalan dipersekitaran sekolah (tanya/jawab diri anda)
  5. Masa mesyuarat (ulangkaji kad nota sebelum mesyuarat)
  6. Masa mendengar radio(kurangkan masa)
  7. Masa menunggu kawan (ulangkaji kad nota)
  8. Masa pelawat ke rumah (jika ramai, belajar di perpustakaan)
Jika anda mengamalkan masa-masa belajar   ini dengan betul dan disiplin,pasti anda akan berjaya dengan cemerlang.




Teknik Belajar PV3R

  1. Preview (tinjauan awal)
  2. Question (soal diri)
  3. Read & Underline (Baca,garis dan tanda)
  4. Recite & write (lafaz dan tulis nota)
  5. Review (tinjauan akhir)
  6. Sumarize (ringkaskan)
  7. Test your self (uji diri anda)
  8. Use (gunakan)
  9. Visualize (bayangkan)


7 Cara Cemerlangkan Otak

  1. Positive mental attitude & positive physical action.
  2. Air-clean air for the brain.
  3. Mental Challenges for the brain.
  4. Food for the brain.
  5. Exercise for the brain.
  6. Sleep for the brain.
  7. Meditation & power brain./


Amalan peningkatan daya ingatan

  1. Faham.
  2. Jarakkan/pecahkan masa belajar.
  3. Lafazkan isi penting dengan cara yang kuat.
  4. Percaya pada diri sendiri.
  5. Ulang berkali-kali.
  6. Guna kata kunci, kata isyarat. kata rahsia & ungkapan lucu.
  7. Ulangkaji semasa berbaring sebelum tidur & semasa bangun tidur.
  8. Bayangkan selalu (20 peringkat masa cemerlang).

        AMALKAN SEMOGA BERJAYA..:)



Wednesday, September 28, 2011

Tips Belajar Saat Akhir





Bertenang dan jangan cemas
Anda perlu bertenang dan jangan cemas. Tiada faedah yang akan diperolehi sekiranya anda cemas keterlaluan. Belajar disaat akhir juga memerlukan strategi yang betul. Ini kerana masa yang anda terhad. Selepas bertenang buat penilaian apa tindakan yang akan diambil seterusnya. Rancang tindakan akan akan diambil dan disiplinkan diri untuk mengikut perancangan yang dibuat.


Beri tumpuan lebih terhadap pembelajaran

Letakkan seluruh tumpuan fikiran anda kepada proses pembelajaran yang anda lakukan. Jangan terlalu memikirkan bahawa anda kesuntukan masa. Hafal perkara yang sepatutnya dihafal seperti biasa dan jangan melengah-lengahkan masa belajar.
Meskipun anda cuba mengenepikan ketakutan dan kegelisahan yang anda alami itu, tetapi lama-kelamaan perasaan itu akan datang semula. Sekiranya hal ini berlaku, cuba alihkan diri anda dari tempat belajar untuk melakukan senaman ringan seperti berdiri sambil menarik dan melepaskan nafas panjang-panjang secara perlahan-lahan beberapa kali. Kemudian duduk semula dan cuba teruskan pembelajaran anda. Cara ini sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan perasaan anda yang tidak tenteram itu.


Yakin terhadap kebolehan diri

Selalu tanamkan dalam diri anda bahawa “saya boleh” dan tulis besar-besar dan terang dan letakkan di hadapan anda (di tempat anda belajar). Tiap-tiap kali anda melihat kad itu anda yakin bahawa anda boleh berjaya. Sekiranya anda dapat menanamkan dalam diri anda bahawa anda bekeyakinan penuh boleh melakukan, maka secara sepontan anda berusaha bersungguh-sungguh dan mental anda dapat berfikir ke arah kejayaan dan apa-apa yang anda cita-citakan selama ini akan membuahkan kejayaan yang membanggakan.


Masa rehat perlu secukupnya

Semasa belajar anda berasa cepat letih, sama ada dari segi fizikal atau mental. Ambil masa untuk otak anda berehat sepenuhnya. Anda juga digalakkan bangun dan cuba berjalan-jalan sebentar dan setelah merasakan kelegaan barulah anda menyambung semula pembelajaran anda.


Hapuskan tabiat suka tidur

Sebaiknya para pelajar tidak terlalu melayan keinginan untuk tidur dari belajar. Kurangkan waktu tidur anda demi meraih satu kejayaan. Gunakan lebih banyak masa mengulangkaji pelajaran di samping melakukan latihan-latihan sendiri supaya anda berkeyakinan. Jadualkan masa tidur anda supaya anda tidak terlebih tidur. Sekiranya anda hendak tidur beberapa jam, anda pelu mengunci jam dan letakkan jam loceng berhampiran anda supaya anda terjaga pada waktu yang dikehendaki.
Masa-masa beginilah yang paling sesuai agar tidak akan diganggu. Penumpuan tenaga dan fikiran terhadap pembelajaran juga akan menjadi mudah. Keadaan ini tidak mendatangkan masalah kerana kajian yang pernah dibuat menunjukkan bahawa kecerdasan berfikir dan keupayaan membuat keputusan tidak terjejas berikutan dengan pengurangan waktu tidur yang dilakukan.
Tidur merupakan waktu rehat yang paling baik dalam persediaan menghadapi peperiksaan. Tetapi ramai pelajar membawa masalah pelajaran ke tempat tidur dan memikirkan pelbagai perkara tentang masalah ini. Akibatnya mereka mengalami gangguan tidur dan ada yang tidak dapat tidur langsung. Pada keesokan harinya, pelbagai perkara akan berlaku seperti berasa pening, tidak selesa dan tidak tenteram kerana ketegangan fikiran dan kelesuan tubuh badan. Ini boleh menjejaskan prestasi mereka pada hari peperiksaan. Sekiranya mereka terpaksa menghadapi peperiksaan pada hari itu, mungkin mereka tidak dapat berfikir dengan tenang seterusnya akan menjejaskan ketepatan jawapan yang diberikan.


Jangan mengambil sebarang ubat yang meragukan

Pengambilan sebarang ubat mengganggu sistem saraf dan menyebabkan keadaan menjadi tegang dan mudah terangsang. Anda tidak perlu lagi mengambil sebarang pil peransang atau ubat-ubatan yang diragukan kesahihannya untuk mencegah tidur. Dapatkan nasihat doktor sekiranya anda hendak mengambil pil-pil sedemikian. Jangan sesekali bertindak sendirian. Ini akan membahayakan anda.
Ubat peransang menyebabkan keletihan yang melampau. Ubat peransang sedemikian mematikan segala perasaan dan keinginan. Melalui ubat-ubat seperti ini, anda mungkin tidak dapat mengesan keletihan yang melampau secara terus. Ubat-ubat ini meransang anda untuk terus belajar tanpa rasa keletihan tetapi kesan yang bakal diterima menjadi lebih buruk setelah habis belajar.
Selain itu, elakkan juga dari meminum minuman berkafein seperti kopi atau teh yang berlebihan. Kesannya sama seperti memakan pil peransang yang menyebabkan kesan-kesan negatif seperti tangan menggeletar, tumpuan terjejas. Dalam keadaan yang tertentu mungkin menyebabkan lupa selain daripada kesan-kesan negatif yang lain. Seeloknya untuk mengawal rasa mengantuk, amalkan meminum lobak susu kerana ia akan mencergaskan lagi otak untuk berfikir.


Beri tumpuan lebih kepada bab yang penting

Dalam keadaan sebegini, anda hanya sempat mempelajari bahagian-bahagian yang penting sahaja. Jangan beri tumpuan berlebihan kepada bahagian-bahagian yang kurang penting. Cuba pilih lima atau enam isi penting daripada satu-satu bahagian dan tuliskan isi-isi penting ini di atas kertas dan cuba ingat serta hafalkan. Anda tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempelajari butir-butir yang kurang penting. Banyakkan membuat soalan-soalan tahun lepas yang sering keluar sebagai latihan dapat membantu anda menumpukan bahagian yang patut dipelajari terlebih dahulu. Cuba pilih soalan-soalan yang mesti dijawab dan sediakan sekuarng-kurangnya enam atau tujuh isi dari setiap soalan yang anda pilih.


Saturday, September 24, 2011

Emotif ruang pelajar, pensyarah berkarya





AISHAH turut melakonkan watak seorang ibu dengan gaya lakonannya yang meyakinkan menerusi teater Kelam... Bu.



AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) merupakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menawarkan pelbagai kursus bertaraf diploma dan ijazah termasuklah dalam seni pementasan teater.
Aswara bukan setakat medan menggali ilmu buat kalangan pelajarnya. Malah, pensyarahnya juga mempunyai ruang mempersembahkan karya-karya mereka untuk tontonan khalayak, contohnya menerusi persembahan Emotif Teater Kecil Fasa 3 yang diadakan di akademi tersebut baru-baru ini.
Melalui persembahan fasa 3 itu, tiga pensyarah Fakulti Teater Aswara iaitu Marlia Musa, Shariful Akma Abdullah dan Mohd. Shahrul Mizad Ashaari telah mempersembahkan karya masing-masing pada pementasan yang mengenakan tiket berdasarkan sumbangan ikhlas daripada para penontonnya.
Tiga teater pendek dengan durasi sekitar 30 minit setiap satu itu dirangkumkan pada satu malam persembahan dengan dimulakan oleh karya berjudul Lost hasil tulisan Shariful Akma Abdullah, diikuti B1N2 (Marlia Musa) dan Kelam... Bu (Mohd. Shahrul Mizad Ashaari).
Menurut Dekan Fakulti Teater Aswara, Rosminah Tahir, Emotif Teater Kecil (TEKE) menerusi fasa 1 dan 2 memberi ruang kepada para pelajarnya mengetengahkan karya-karya hasil teori yang mereka pelajari di akademi itu.
“Para pengkarya yang terdiri daripada para pelajar Aswara ini dapat berekreasi dengan karya-karya baru mereka dengan cara berkolaborasi sesama rakan pengajian sebagai landasan bagi mengembangkan ilmu pengajian ke pentas secara mandiri.
“Sementara TEKE fasa 3 pula diteruskan oleh para pensyarah fakulti ini sebagai suatu emotif pengembaraan daripada idea ke rasa dengan luahan gerak serta bunyi yang bergandingan hasil usul pandang bagi menghasilkan tindakan dan cara yang tersendiri.
“Emotif ini memberi kesegaran baru kepada yang lama bagi mengupas isu-isu semasa dalam bentuk teater yang bertolak daripada ruang serta waktu terhad serta produksi yang kecil skalanya. Namun, garapannya besar yang membabitkan barisan tenaga kerjanya di kalangan kakitangan Aswara sendiri,” katanya.
Mungkin secara kebetulan, tiga karya yang diketengahkan oleh tiga pensyarah itu banyak mengumpil tentang permasalahan sosial masyarakat berhubung sisi-sisi gelap yang semakin banyak berlaku dalam keluarga seperti perlakuan sumbang mahram antara bapa dan anak.
Sebagai contohnya, teater Kelam... Bu yang melontarkan permasalahan sumbang mahram yang belum berkesudahan dan semakin banyak didedahkan menerusi media-media massa sejak kebelakangan ini.
Hamzah, Noni, Ogy dan Hamidah merupakan watak-watak yang menjadi mangsa kepada kisah yang berlaku dalam keluarga mereka. Dalam hal ini, Che’ Kem yang melakonkan watak bapa yang melalui sisi gelap sebagai ‘lelaki jijik’ memperlihatkan senario itu dengan jelas dan dalam nada kebencian.
Selaku pensyarah fakulti itu, beliau berjaya melakonkan watak itu dengan cukup berkesan sekali di mana keberkesanan itu turut digalas oleh barisan pelakon berpengalaman lain seperti Tria Aziz dan Juhara Ayob.
Penyanyi Aishah turut serta melakonkan watak seorang ibu yang cukup tipikal dengan gaya kekampungannya turut cemerlang dengan cetusan rasa emosi dan alunan suaranya yang sentiasa bertukar nada berbaur rasa tersebut.
Penampilan Aishah turut menyerlah kerana selain melontarkan bait-bait dialognya yang penuh dengan rintihan rasa seorang ibu dan wanita, dia turut mengalunkan sebuah lagu yang melatari emosi serta jalan cerita teater tersebut.
Marlia Musa yang melontarkan idea dan kritikan sosialnya menerusi B1N2 lebih cenderung memperkatakan tentang asam garam hidup seorang lelaki yang melalui status beristeri dua.
Sama ada isteri kepada komposer M. Nasir ini bersetuju atau sebaliknya dengan senario atau status itu, namun di sebalik lingkaran pementasan itu dia mencungkil rencah pahit manis yang terpaksa dilalui dalam poligami.
Paling ketara apabila banyak babak sama ada sinis atau tegang, B1N2 seolah-olah mahu menggambarkan bahawa kesan poligami paling ketara dilemanya di kalangan wanita yang bermadu.
Unsur kejiwaan yang mendalam turut diselongkari menerusi karya Lost yang lebih menjurus kepada dilema watak seorang gadis, Farah yang terpaksa berkahwin dengan Mazlan, seorang lelaki yang lebih tua daripadanya kerana desakan hidup.
Pengungkapan luahan jiwa Farah yang dibentangkan menerusi Lost banyak menuntut penghayatan para penonton agar bersimpati dengannya di mana saat kematian wanita malang itu pada klimaks teater ini menguatkan lagi tuntutan tersebut.
Selain tiga karya itu, sebelum ini tiga lagi karya teater hasil tulisan para pensyarah Aswara seperti Ahmad Yatim berjudul Maruah Kemerdekaan, Dr. Wong Oi Min (Love You Forever) dan Rohani Yousoff (Bercerai Kasih Menolak Sayang) turut dipentaskan pada fasa siri pementasan anjuran Aswara itu.
Di samping fasa 3 Emotif yang dikhususkan untuk para pensyarah Aswara, fasa 1 yang sebelum itu telah diadakan di akademi itu dikhususkan untuk mementaskan karya-karya pelajar peringkat diploma, manakala fasa 2 pula untuk pelajar peringkat ijazah.


Aaron Aziz Jadi Ustaz Untuk Insafkan Diri




TAMPAN dan berbakat besar, sudah cukup membuatkan nama Aaron Aziz begitu 'kukuh' di dalam industri seni tanahair ketika ini.
Meskipun aktor yang berasal dari Singapura ini pada awalnya hanya ingin mencuba nasib sebagai anak seni di Malaysia, namun percaturan Aaron nampaknya membuahkan hasil lumayan. Pelakon berusia 33 tahun ini nampaknya terus laku menjadi sambaran produser-produser filem dan drama.
Biarlah apa saja tanggapan sesetengah pihak yang merasakan Aaron 'lupa diri' apabila namanya lebih gah di negara ini berbanding negara sendiri, sekurang-kurangnya bapa kepada dua orang cahaya mata ini telah membuktikan kemampuan dirinya sebagai pelakon.
Watak-watak seperti gangster, komedi, jejaka romantis dan lelaki ego, semuanya pernah dibawakan oleh Aaron. Tidak dinafikan, pelakon yang merupakan wajah eksklusif Astro ini berjaya mencorakkan apa saja watak yang diberikan kepadanya dengan cukup berkesan.
Inginkan lebih banyak kelainan atau kepelbagaian di dalam watak-watak yang dibawanya, Aaron sanggup memikul cabaran untuk memainkan peranan sebagai seorang ustaz di dalam filem terbitan Yasmin Khanif Production dengan kerjasama De Baron Production dan Dr Movie Production berjudul Cempaka.
Kata Aaron, ini merupakan kali pertama dia cuba membawakan watak 'alim' seperti itu.
"Ketika pertama kali saya ditawarkan watak ini, isteri saya, Diyana bertanyakan pada penulis skirp filem itu, Imran Ismail sama ada saya sesuai atau tidak memegang watak ustaz.
"Tetapi Imran menegaskan, sekarang ini memang sudah ramai pelakon yang membawakan watak 'ustaz muda', jadi tidak timbul isu sesuai atau tidak.
"Cuma sekarang ini, terserah kepada saya untuk mencorakkan watak itu nanti. Tetapi saya memang teruja untuk membawa watak ini, memang jauh berbeza dengan apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini.
"Tambahan pula jalan cerita ini memang mempunyai mesej tersendiri. Sekaligus, watak tersebut juga mampu membawa keinsafan untuk diri saya sendiri," kata Aaron yang merupakan duta untuk produk L'oreal Men dan Celcom ini.
Filem suspense-thriller yang menelan belanja kira-kira RM3.5 juta ini akan memulakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Sik, Kedah awal bulan depan. Skripnya dihasilkan oleh Imran Ismail manakala pengarahnya pula ialah pelakon Hairi Othman.
Selain Aaron, filem ini akan dibintangi sendiri oleh pemilik Yasmin Khanif Production iaitu Yasmin sendiri, membawakan watak Cempaka, Hairi Othman, Iqbal Juara Pilih Kasih, Faizal Hussein, Suhaila Salam dan Azhar Sulaiman.
Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan tentang perjalanan mayat bernama Hassan sebelum dikebumikan yang mana jenazahnya menempuh pelbagai halangan ketika diuruskan. Pada masa yang sama, ia juga memaparkan tentang kehidupan sosial Cempaka yang bergelumang dengan dosa.
Bagi menjiwai watak tersebut, ujar Aaron, memang dia perlu melakukan kajian yang lebih, terutamanya daripada segi sebutan ayat-ayat Al-Quran.
"Kalau berdasarkan skrip, watak ini tidaklah banyak sangat cabarannya. Tetapi apa yang perlu saya telitikan ialah dari segi sebutan ayat Al-Quran kerana watak ini memerlukan saya mengaji.
"Sebagai orang Islam, memang saya tidak ada masalah tentang mengaji, tetapi saya kena lebih berhati-hati dari segi sebutan...kena baca dengan betul," katanya yang bakal menimang cahaya mata ketiga tidak lama lagi.
Dalam perkembangan lain, pelakon yang pernah membintangi filem Bohsia, Evolusi KL Drift dan Pisau Cukur ini berkata, dia baru saja selesai menjalani penggambaran filem Datin Ghairah bersama pelakon Maria Farida dan sebuah drama bersiri,Tangkal Besi yang bakal disiarkan di Astro Citra.
Filem Datin Ghairah arahan Sabree Fadzil itu dijangka akan ditayangkan tahun depan. Dalam filem tersebut, Aaron membawakan watak sebagai seorang anggota polis yang menyamar sebagai cikgu.
Filem ini berkisarkan tentang seorang datin bernama Gairiah lakonan Maria Farida yang mewarisi harta yang banyak setelah kematian suaminya. Kehidupannya yang kaya-raya membuatkan ramai lelaki ingin mendekatinya.
Datin Gairiah bagaimanapun jatuh hati dengan guru tusyen anaknya lakonan Aaron Aziz.


Rokok Hering Dapat Mimpi Nombor Ekor





SEEKOR burung hering dipamerkan di depan kedai ubat-ubatan tradisonal di pasar Farady, Johannesburg pada 10 Disember lalu.







JOHANNESBURG - Menghisap rokok yang diperbuat daripada otak burung hering yang dikeringkan akan membolehkan penghisapnya mendapat gambaran nombor ekor yang menang dalam permainan lotto di Afrika Selatan.
Perkhidmatan itu disediakan oleh seorang penjual ubat-ubatan tradisional di pinggir bandar Johhanesburg yang dikenali sebagai Scelo.
"Setiap orang bertanya mengenai otak itu. Bagi peminat nombor ekor, anda akan 'bermimpi' memperolehi nombornya," kata penjual ubat tersebut.
Menurut kepercayaan di kalangan penduduk, otak kering itu digulung dan dijadikan rokok.
Ia boleh digunakan untuk meningkatkan prestasi peperiksaan dan kuda serta menarik lebih ramai pelanggan perniagaan.
Scelo menjual sebuah botol kecil yang mengandungi otak kering burung hering itu dengan harga AS$6.50 (RM22.29).
Menurut seorang pengamal perubatan tradisional, otak burung itu dikeringkan dan dicampur dengan lumpur dan dihisap seperti rokok.
Seorang lelaki, Mthembeni berkata, dia membeli campuran otak dan paruh burung itu untuk diberikan kepada anjing-anjingnya.
"Saya meletakkannya pada hidung anjing itu. Haiwan itu mampu mengesan sebarang bau ganjil beberapa kilometer jauhnya," kata pemuda tersebut.


Bukan Pakaian Tiruan




Stigma bahawa pakaian berjenama terlalu mahal untuk dimiliki dan jika ia dijual di butik atau premis bukan eksklusif adalah produk tiruan masih menebal dalam kalangan masyarakat tempatan.


KOLEKSI pakaian kanak-kanak seperti GAP, Old Navy dan OshKosh turut ditawarkan.

MELIHAT sahaja deretan pakaian berjenama popular yang dipamerkan di galeri butik berkenaan, pasti tiada siapa menyangka ia dijual pada harga yang sangat murah.Kualitinya tetap sama, tidak mempunyai sebarang cacat cela pada jahitan dalaman mahupun luaran menyebabkan mereka yang sebelum ini tidak berminat pada pakaian berjenama terus terpikat.
Sebutlah jenama-jenama terkenal seperti Ralph Lauren, Tommy Hilfigure, Carters, Calvin Klein, Burberry, Brooks Brothers, Marks n Spencer, Evisu, Nordstrom, Replay, AX dan GAP, semuanya ada di bawah satu bumbung.
Hakikatnya, koleksi jenama pakaian popular dari Eropah dan Amerika Syarikat itu harganya mungkin mencecah diantara RM600 sehingga RM1,000 sehelai atau sepasang, namun di butik Factory Overrun di Greentown Nova, Ipoh, Perak, ia boleh dibawa pulang pada harga serendah RM49, bahkan ada yang lebih murah daripada itu!
Itulah hasil usaha gigih usahawan muda, Azmi Abdul Malik, 35, yang mengusahakan Factory Overrun, syarikat tempatan yang mempelopori penjualan terus dari kilang pakaian-pakaian berjenama sejak lapan tahun lalu.
Azmi memberitahu, obsesinya terhadap pakaian berjenama sejak menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor lebih sedekad lalu telah 'memahirkannya' untuk mendapatkan bekalan barangan tersebut pada harga murah.
"Sebagai peminat pakaian berjenama, saya sentiasa mencari jalan untuk mendapatkannya pada harga yang lebih murah berbanding dengan harga di pasaran dan pada masa sama, kualiti fabrik serta mutu jahitannya masih tulen.
"Pencarian saya akhirnya membuahkan hasil apabila saya mengetahui terdapat pakaian-pakaian berjenama dikilangkan dan ia dipasarkan pada harga yang jauh lebih murah berbanding di pasaran," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, stigma bahawa pakaian berjenama terlalu mahal untuk dimiliki dan jika ia dijual di butik atau premis bukan eksklusif adalah produk tiruan masih menebal dalam kalangan masyarakat tempatan.
"Setiap pelanggan yang datang ke butik Factory Overrun akan diberi penerangan mengenai perbezaan antara pakaian cetak rompak, dinyah asing (reject) dan koleksi tulen yang terdapat di premis ini," katanya.
Jelasnya, pakaian 'berjenama' tiruan pada kebiasaannya boleh dinilai berdasarkan fabrik dan kualiti jahitan, begitu juga barangan reject yang dikesan melalui kecacatan pada jahitan dan potongan.
"Pakaian berjenama di butik ini dihasilkan di kilang-kilang berlesen di negara ini dan rantau Asia yang mendapat kebenaran dan tempahan pemilik jenama di Amerika Syarikat dan Eropah untuk mengilangkannya.
"Bekalan yang diperoleh Factory Overrun merupakan lebihan tempahan pakaian dan atas sebab itu, logo atau jenama pakaian berkenaan yang terletak pada tengah dalam kolar kemeja dan sebagainya mempunyai kesan guntingan.
"Prosedur ini juga sebagai tanda pakaian berkenaan adalah tulen dan asli. Jika ia tiruan, pasti tanda berkenaan tidak 'dikerat'," katanya.


SEORANG pengunjung memilih pakaian berjenama di Factory Overrun, Ipoh, Perak.


Selepas lebih setahun membuka premis pertamanya di Greentown Nova, Azmi kini boleh berbangga kerana butiknya yang kedua telah beroperasi di Pusat Bandar Seri Manjung. Butiknya yang terbaru iaitu di bandar Taiping pula akan dibuka tidak lama lagi."Saya yakin penjualan pakaian berjenama ini mempunyai peminatnya sendiri kerana mereka lebih mementingkan kualiti kerana keselesaan pemakainya," katanya.
Menurutnya, Factory Overrun kini menawarkan berpuluh-puluh jenis jenama pakaian popular untuk lelaki dan wanita dewasa serta koleksi kanak-kanak seperti GAP, Old Navy dan OshKosh.
Selain itu, Azmi juga bertindak sebagai pemborong dan membekalkan pakaian berjenama terbabit kepada peniaga berminat di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Pahang.
Dalam pada itu, Azmi memberitahu, pihaknya menyasarkan jualan bersih sebanyak RM1.5 juta bagi tiga buah butiknya sepanjang tahun 2010. Katanya, sasaran itu mampu dicapai berikutan permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan terhadap pakaian-pakaian berjenama tetapi pada harga mampu dibeli.
"Saya yakin penjualan pakaian berjenama akan terus mendapat sambutan menggalakkan lebih-lebih lagi masyarakat mengetahui ia adalah original.
"Selain itu, penjenamaan semula Factory Overrun sedikit masa lagi diharap dapat meningkatkan jualan," katanya.


AZMI mensasarkan jualan bersih sebanyak RM1.5 juta bagi tiga buah butiknya sepanjang tahun 2010.


Ketika ini, Factory Overrun menawarkan potongan harga sehingga 70 peratus untuk beberapa jenis pakaian terpilih dan peluang itu harus direbut oleh mereka yang tidak mampu membeli pakaian berjenama pada harga asal."Apa yang pasti, pakaian yang terdapat di butik kami merupakan fesyen terkini seperti yang terdapat di pasaran," katanya.
Orang ramai yang berminat bolehlah berkunjung ke Factory Overrun di No.14, Jalan Greentown 1, Greentown Nova, Ipoh, Perak. Sebarang pertanyaan, boleh dibuat melalui talian             019-5761807       atau menerusi laman webwww.factoryoverrun.com.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...