http://chipsmore1991.blogspot.com/

Saturday, September 24, 2011

Emotif ruang pelajar, pensyarah berkarya





AISHAH turut melakonkan watak seorang ibu dengan gaya lakonannya yang meyakinkan menerusi teater Kelam... Bu.



AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) merupakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menawarkan pelbagai kursus bertaraf diploma dan ijazah termasuklah dalam seni pementasan teater.
Aswara bukan setakat medan menggali ilmu buat kalangan pelajarnya. Malah, pensyarahnya juga mempunyai ruang mempersembahkan karya-karya mereka untuk tontonan khalayak, contohnya menerusi persembahan Emotif Teater Kecil Fasa 3 yang diadakan di akademi tersebut baru-baru ini.
Melalui persembahan fasa 3 itu, tiga pensyarah Fakulti Teater Aswara iaitu Marlia Musa, Shariful Akma Abdullah dan Mohd. Shahrul Mizad Ashaari telah mempersembahkan karya masing-masing pada pementasan yang mengenakan tiket berdasarkan sumbangan ikhlas daripada para penontonnya.
Tiga teater pendek dengan durasi sekitar 30 minit setiap satu itu dirangkumkan pada satu malam persembahan dengan dimulakan oleh karya berjudul Lost hasil tulisan Shariful Akma Abdullah, diikuti B1N2 (Marlia Musa) dan Kelam... Bu (Mohd. Shahrul Mizad Ashaari).
Menurut Dekan Fakulti Teater Aswara, Rosminah Tahir, Emotif Teater Kecil (TEKE) menerusi fasa 1 dan 2 memberi ruang kepada para pelajarnya mengetengahkan karya-karya hasil teori yang mereka pelajari di akademi itu.
“Para pengkarya yang terdiri daripada para pelajar Aswara ini dapat berekreasi dengan karya-karya baru mereka dengan cara berkolaborasi sesama rakan pengajian sebagai landasan bagi mengembangkan ilmu pengajian ke pentas secara mandiri.
“Sementara TEKE fasa 3 pula diteruskan oleh para pensyarah fakulti ini sebagai suatu emotif pengembaraan daripada idea ke rasa dengan luahan gerak serta bunyi yang bergandingan hasil usul pandang bagi menghasilkan tindakan dan cara yang tersendiri.
“Emotif ini memberi kesegaran baru kepada yang lama bagi mengupas isu-isu semasa dalam bentuk teater yang bertolak daripada ruang serta waktu terhad serta produksi yang kecil skalanya. Namun, garapannya besar yang membabitkan barisan tenaga kerjanya di kalangan kakitangan Aswara sendiri,” katanya.
Mungkin secara kebetulan, tiga karya yang diketengahkan oleh tiga pensyarah itu banyak mengumpil tentang permasalahan sosial masyarakat berhubung sisi-sisi gelap yang semakin banyak berlaku dalam keluarga seperti perlakuan sumbang mahram antara bapa dan anak.
Sebagai contohnya, teater Kelam... Bu yang melontarkan permasalahan sumbang mahram yang belum berkesudahan dan semakin banyak didedahkan menerusi media-media massa sejak kebelakangan ini.
Hamzah, Noni, Ogy dan Hamidah merupakan watak-watak yang menjadi mangsa kepada kisah yang berlaku dalam keluarga mereka. Dalam hal ini, Che’ Kem yang melakonkan watak bapa yang melalui sisi gelap sebagai ‘lelaki jijik’ memperlihatkan senario itu dengan jelas dan dalam nada kebencian.
Selaku pensyarah fakulti itu, beliau berjaya melakonkan watak itu dengan cukup berkesan sekali di mana keberkesanan itu turut digalas oleh barisan pelakon berpengalaman lain seperti Tria Aziz dan Juhara Ayob.
Penyanyi Aishah turut serta melakonkan watak seorang ibu yang cukup tipikal dengan gaya kekampungannya turut cemerlang dengan cetusan rasa emosi dan alunan suaranya yang sentiasa bertukar nada berbaur rasa tersebut.
Penampilan Aishah turut menyerlah kerana selain melontarkan bait-bait dialognya yang penuh dengan rintihan rasa seorang ibu dan wanita, dia turut mengalunkan sebuah lagu yang melatari emosi serta jalan cerita teater tersebut.
Marlia Musa yang melontarkan idea dan kritikan sosialnya menerusi B1N2 lebih cenderung memperkatakan tentang asam garam hidup seorang lelaki yang melalui status beristeri dua.
Sama ada isteri kepada komposer M. Nasir ini bersetuju atau sebaliknya dengan senario atau status itu, namun di sebalik lingkaran pementasan itu dia mencungkil rencah pahit manis yang terpaksa dilalui dalam poligami.
Paling ketara apabila banyak babak sama ada sinis atau tegang, B1N2 seolah-olah mahu menggambarkan bahawa kesan poligami paling ketara dilemanya di kalangan wanita yang bermadu.
Unsur kejiwaan yang mendalam turut diselongkari menerusi karya Lost yang lebih menjurus kepada dilema watak seorang gadis, Farah yang terpaksa berkahwin dengan Mazlan, seorang lelaki yang lebih tua daripadanya kerana desakan hidup.
Pengungkapan luahan jiwa Farah yang dibentangkan menerusi Lost banyak menuntut penghayatan para penonton agar bersimpati dengannya di mana saat kematian wanita malang itu pada klimaks teater ini menguatkan lagi tuntutan tersebut.
Selain tiga karya itu, sebelum ini tiga lagi karya teater hasil tulisan para pensyarah Aswara seperti Ahmad Yatim berjudul Maruah Kemerdekaan, Dr. Wong Oi Min (Love You Forever) dan Rohani Yousoff (Bercerai Kasih Menolak Sayang) turut dipentaskan pada fasa siri pementasan anjuran Aswara itu.
Di samping fasa 3 Emotif yang dikhususkan untuk para pensyarah Aswara, fasa 1 yang sebelum itu telah diadakan di akademi itu dikhususkan untuk mementaskan karya-karya pelajar peringkat diploma, manakala fasa 2 pula untuk pelajar peringkat ijazah.


1 comment:

jerit kuat2 kt sini ye..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...