http://chipsmore1991.blogspot.com/

Saturday, September 24, 2011

Trak pikap terlaris di pasaran




HILUX memang boleh diharap untuk meredah laluan-laluan seperti ini.



ADA sesuatu yang berbeza dengan Toyota. Magisnya bukan terletak pada enjinnya yang menjimatkan minyak, rekabentuk yang futuristik atau sebagainya, tetapi kemampuannya untuk menarik orang ramai untuk membelinya.
Tidak percaya? Tengok sahaja di atas jalan raya. Berapa banyak kenderaan Toyota berbanding jenama dari Jepun atau Korea yang lain. Sedangkan kalau benar-benar diteliti, kenderaan Toyota tetap mempunyai kelemahan tersendiri. Lebih pelik lagi, situasi itu bersifat global, tidak hanya berlaku di Malaysia.
Sebenarnya populariti Toyota banyak bergantung kepada kepercayaan pengguna bahawa jenama itu menawarkan produk yang tahan lama, kurang masalah, nilai jualan semula yang tinggi dan macam-macam lagi.
Jadi, tidak hairanlah jika setiap kali produk baharunya diperkenalkan, perhatian yang diberikan oleh khalayak kadang-kadang agak membingungkan.
Projek IMV
Minggu ini, UMW Toyota Sdn. Bhd. (UMW Toyota) sekali lagi mahu membuktikan kejaguhannya. Kali ini menerusi model trak pikap yang menerima proses naik taraf. Toyota menamakan trak pikap yang pertama kali dibinanya pada tahun 1968 itu sebagai Hilux.
Bernaung di bawah projek IMV Toyota, Hilux yang dipasarkan di Malaysia dipasang di kilang Toyota di Rayong, Thailand. IMV merujuk kepada Innovative International Multi-purpose Vehicle (Kenderaan Pelbagai Guna Inovatif Antarabangsa).


HILUX kini dilengkapi dengan sistem navigasi dan kamera undur (untuk varian 3.0G sahaja).


Projek itu diinisiatif untuk membina sistem pengilangan dan pembekalan yang optimum bagi model-model trak pikap (Hilux), SUV (Fortuner) dan MPV (Innova) demi memenuhi permintaan di lebih 140 buah negara di seluruh dunia. Janji Toyota, semua pelanggannya akan menikmati kualiti tertinggi Toyota, walau di mana pun kenderaan itu dihasilkan.
Sama ada di hutan hujan di Asia, padang pasir atau gurun di benua Afrika, Hilux diterima baik dalam setiap pasaran yang disertainya. Jika tidak, bagaimana sebanyak 2.7 juta unit Hilux sudah berjaya dijual di seluruh dunia sehingga tahun 2010?
Generasi ketujuh Hilux menjengah pasaran tempatan pada tahun 2005. Sejak itu, ia muncul sebagai peneraju pasaran dengan jumlah jualan mencecah 90,000 unit.
“Tahun lalu, rekod jualan Hilux melebihi 18,500 unit. Sehingga hujung bulan Ogos tahun ini pula, hampir 14,000 unit Hilux telah dijual iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2010.

RUANG kargo yang cukup luas untuk anda mengangkut barang-barang.


“Kami menyasarkan jualan di antara 1,800 hingga 2,000 unit sebulan memandangkan permintaan terhadap trak pikap di Malaysia masih kukuh,” jelas Presiden UMW Toyota Sdn. Bhd., Ismet Suki sambil memberitahu, UMW Toyota kini sudah pun menerima lebih 3,300 tempahan.
Hilux bermula dengan varian 2.5 liter bersama pilihan transmisi manual dan automatik. Model itu kemudian menerima proses naik taraf tiga tahun kemudian. Selepas menerima maklum balas daripada pelanggan yang mahukan versi Hilux lebih berkuasa, UMW Toyota mengambil keputusan untuk memperkenalkan varian 3.0 liter pada tahun lalu.
Untuk makluman anda, Toyota merupakan jenama trak pikap yang paling lewat menawarkan varian tersebut. Sedangkan Ford, Isuzu, Mitsubishi, Mazda, Nissan dan Ssangyong sudah agak lama berbuat demikian.
Sesi pandu uji
Sehari sebelum pelancaran, saya berpeluang memandu uji kedua-dua varian terbaharu Hilux di Shah Alam, Selangor. Dibahagikan kepada dua sesi, ia dimulakan dengan sesi pandu uji bagi menguji kemampuan Hilux meredah laluan-laluan off-road sebenar.

PENAMPILAN lebih masklulin menerusi rekaan bampar, lampu utama dan bonet yang baharu.


Sama ada menaiki dan menuruni kawasan cerun yang curam, meredah lopak air setinggi tayar trak atau melalui laluan penuh selut, Hilux nampaknya tidak berdepan masalah untuk mengatasi semuanya.
Enjin 2.5 atau 3.0 liter itu memberi cukup kuasa bagi memastikan pemandu tidak terlekat di atas jalan yang beberapa jam sebelum sesi pandu uji disiram oleh hujan lebat.
Penolong Ketua Jurutera IMV, Toyota Motor Corporation, Osamu Tomioka mengakui bahawa Hilux telah diuji di semua bentuk cuaca dan muka bumi bagi memastikan ia mampu memenuhi ekspektasi setiap pemiliknya.
Jika dilihat kepada Hilux yang ditambah baik ini, jelas bahawa Toyota cuba untuk menjadikannya sebuah trak pikap yang sarat dengan ciri-ciri moden dan bernilai untuk wang anda.
Ditawarkan dalam lima varian kesemuanya, Hilux menerima perubahan dari segi penampilannya. Paling ketara pastinya bahagian dengan reka bentuk tiga dimensi yang meliputi bonet, gril dan bampar. Versi 2.5 dan 3.0 liter juga dapat dibezakan dengan skup udara yang kali ini nampak lebih lebar.
Penampilan lebih segar
Bahagian belakangnya pula dipasang dengan lampu baharu, bersama lampu brek jenis LED pada kedudukan lebih tinggi agar mudah dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain.
Ruang kabin Hilux menerima perubahan besar. Papan pemukanya dipapar menerusi rekaan susun atur yang memisahkan konsol tengah kepada dua bahagian untuk menempatkan sistem audio dan butang kawalan pendingin udara.
Bagi varian 3.0G sahaja, pemandunya diberi paparan MID (Multi-Information Display). Ia memaparkan pelbagai informasi berguna termasuklah suhu luar kabin, penggunaan minyak secara purata, jarak dengan minyak sedia ada dan banyak lagi.
Hilux juga dipasang dengan stereng baharu. Ia dilengkapi dengan butang kawalan audio dan MID. Apa yang lebih penting, gabungan semua elemen baru di dalam kabin ini membuatkan pemandu seakan-akan berada dalam sebuah kereta sedan.
Menyedari ada pelanggan yang mahu membuatkan Hilux miliknya berbeza dengan yang lain, UMW Toyota turut menawarkan beberapa aksesori khas. Antaranya ialah sport bar, filem solar dan sistem DVD-Audio Video Navigation Toyota


No comments:

Post a Comment

jerit kuat2 kt sini ye..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...